Thursday, July 12, 2012

8 SAJAK


PERTEMUAN DI HYDE PARK
 Adi Badiozaman Tuah

Bila berdiri di antara pepohon rimbun di Hyde Park 
aku teringat sebidang tanah luas pemberian ayah di kampung 
betapa sebelumnya ia adalah tanah hutan dara 
setelah ditebang pokok dan dibersihkan semak 
kemudian dibiarkan kering dan dibakar 
dan setelah berkali-kali ditanam padi 
menjadi huma bukit milik keluarga.

Atas munggu itulah aku selalu berdiri bersama ayah 
sama ada ketika padi membesar atau semasa menghalau burung pipit 
atau membaiki langkau dan tempat jemuran padi 
atau saja-saja santai antara panggilan emak bila memerlukan air kopi 
atau bila kemudiannya menemani ayah menanam anak getah 
atau membetulkan barisan tanaman ladanya.

Bagaikan membahaskan isu utama dunia di Sudut Pidato  
di situlah ayah akan bercerita tentang erti sebuah tanah 
tentang tanggungjawab penjagaan dan pemeliharaannya 
betapa kegunaannya bisa berubah mengikut ketentuan dan keperluan masa 
segalanya kitalah yang menentukan dan tanah sedia menerima tanpa bicara.

      Di situlah ayah sering mengingatkan erti sebuah amanah 
Kitalah yang mencorakan dan membentuk tanah ini mengikut kesesuaiannya 
      dan sekiranya alpa, tanah ini akan kembali semula menjadi milik alam semesta



 
PERNAHKAH ENGKAU MENTAFSIR KEDAMAIAN

Baha Zain

i
Aku terbangun pada waktu tengah malam
membuka jendela melihat seluas alam
pernahkah engkau terbangun seperti ini?
Diganggu mimpi buruk atau gelisah rindu.

Lihatlah gelap pekat di mana-mana
nampakkah engkau di sana ada pelita?
Pada setiap jalur cahaya ada bayang-bayang
tidak pekat hitam, tetapi remang-remang.

ii
Sepi malam melindungi engkau dari bisikan orang
kecuali di kiri kanan ada syaitan-syaitan
putuskanlah ke mana matamu memandang
pernahkah engkau secara sedar membuat pilihan?
masuk rongga-rongga hati nurani, sukma kalbudan akal budi
atau tergoda bisikan halus syaitan-syaitan itu.

Kita sering melihat cahaya benderangjauh ke depan
meskipun berdiri dalam gelap pekat atas tanah perkuburan
di situ kita injak keamanan dengan mencerca keganasan
kita laungkan suara-suara keramat seolah-olahkita malaikat
agama jadi alasan, jadi boneka permainan
kita benci perang, kita cinta kedamaianjadi slogan perjuangan
kita nyaringkan suara supaya orang tidak mendengar:
mendengar bisikan hati nuraninya sendiri,
syaitan lebih nyaring bersuara tentang erti keamanan
'Engkau harus kuasai mereka dengan harga setinggi mana pun
atas nama kemenangan, apa ertinya kedamaian
sebuah kota yang telah menjadi perebutan'.

iii
Perang akan memusnahkan kubu, bangunan,muzium, galeri dan universiti
perang telah mengoyakkan halaman-halaman sejarah
perang akan mencipta sejarah barudi halaman-halaman yang baru
sejarah baru itu hanya derap kaki askar-askar yang dahulu.

Seorang pemimpin menumpaskan bekas-bekaskeagungan pemimpin lama
jadi tirani apabila mencium bau wang
pernahkah engkau jadi haloba apabila mencium bau keuntungan?
Perang akan memusnahkan bahasa dan kesenian yang merumahkan kemanusiaan.

Orang lupa bahawa Islam itu agama kehidupan
untuk semua bangsa yang membenci persengketaan.
Pernahkah engkau terfikir bahawa engkau telah dipermainkan?



 
DI TITIAN KEMERDEKAAN
Dharmawijaya

telah datang angin kemerdekaan
melambai tanah air berlagu sentosa
telah gemilang sumpah kerelaan
membelai bangsa sepanjang usia.

setiap menjelang kemerdekaan ini
bergemalah di hati anak peribumi
sejahtera bangsa menggenggam Kemenangan
keramat bangsa menentang keagungan.

kemerdekaan, di sini bumi beningmu dipijak
di sini langit jernihmu dijunjung
cinta kasih tiadakan retak
meski debar sengketa melanda jantung.

tanah air tercinta hamparan setia
kamilah kini pewaris kemerdekaan
seluhur suara seteguh cita
menjunjung bakti mahkota kedaulatan.

1990

No comments:

Post a Comment